Salam semua. Untuk tulisan kali ini saya akan kongsikan beberapa cara untuk panduan kepada anda bagaimana untuk pajak emas atau gadai emas yang anda miliki. Kaedah ini adalah lebih tertumpu kepada gadaian di Ar Rahnu.

Sistem pajak atau gadaian dalam Islam adalah dibenarkan untuk memudahkan urusan umat Islam itu sendiri. Senang nak faham untuk sistem pajak atau gadaian ini adalah suatu sistem pinjaman yang diberikan dengan cagaran atau jaminan barang bernilai yang kita berikan.

Emas adalah logam berharga dan bernilai. Oleh itu sistem gadaian emas atau pajakan emas adalah dibolehkan. Ini juga salah satu kebaikan penyimpan emas. Mereka dapat menggunakan emas mereka untuk mendapatkan ‘duit sementara’ untuk pusingan bisnes atau modal. Selesai sahaja urusan mereka, mereka dapat tebus emas mereka balik.

Duit dapat, Emas pun dapat balik.

Kaedah ini jugalah yang biasa dilakukan oleh ‘mak – mak’ untuk modal pusingan bisnes mereka. Jadi tidak hairanlah jika gelang emas mereka sampai ke lengan. Di samping nampak ‘bergaya’, mereka juga dapat manfaat dengan menggadai emas mereka jika mereka sangat perlukan duit segera (Tak perlu pinjam Ah Long yang semestinya Bukan Nak Tolong!).

Cara nak gadai emas (sama ada barang kemas atau jongkong / syiling emas) adalah dengan membawa emas tersebut ke Ar-Rahnu. Itu saja.

DI MANA TEMPAT NAK PAJAK EMAS?

Anda boleh bawa emas ke mana – mana cawangan Ar Rahnu (halal), dan bukannya kedai pajak tidak patuh syariah (haram). Bukan pajak emas di bank ye kerana sistem bank adalah tiada sistem pajak emas melainkan hanya segelintir sahaja bank yang ada fasiliti sistem pajak emas ini. Berikut adalah antara senarai Ar-Rahnu yang ada di negara kita:

  1. Ar-Rahnu Pos Malaysia
  2. Ar-Rahnu Bank Rakyat
  3. Ar-Rahnu YAPEIM
  4. Ar-Rahnu Agrobank
  5. Ar-Rahnu Koperasi Tentera
  6. Ar-Rahnu Exchange (francais Bank Rakyat)
  7. Ar-Rahnu Bank Islam (Kelantan)
  8. Ar-Rahnu Express Habib Jewel
  9. Ar-Rahnu Bank Muamalat
  10. Ar-Rahnu Public Gold

Apakah barang atau dokumen yang perlu di bawa ke Ar-Rahnu?

Antara barang atau dokumen yang biasa dibawa adalah:

  1. Emas
  2. Sijil Ketulenan (kalau ada)
  3. Resit belian (kalau perlu)

Walau bagaimana pun, setiap polisi yang ditetapkan oleh setiap Ar-Rahnu adalah berlainan antara satu sama lain. Ia juga akan berubah mengikut keadaan keperluan semasa. Oleh itu untuk mendapat gambaran yang lebih jelas, anda perlulah ker Ar-Rahnu berkenaan dan bertanyakan keperluan yang perlu anda bawa untuk memajak emas anda.

Apakah jenis atau gred emas yang diterima untuk dipajak?

Barang kemas yang solid (tanpa permata), jongkong emas (goldbar), syiling emas (gold coin atau dinar). Emas yang tulen dan bukan emas tiruan sahaja. Namun ada sesetengah Ar-Rahnu yang hanya menerima pajakan barang kemas sahaja dan bukan jongkong atau syiling emas.

Berapakah pinjaman yang diluluskan untuk emas itu dipajak?

Kebiasaan pinjaman diberikan dari 65% hingga 80% atas nilai semasa emas itu dipajak. Sedikit salahfaham masyarakat kita adalah nilai emas semasa itu bukanlah harga emas yang dijual oleh pengeluar atau kilang emas. Nilai semasa emas dipajak adalah harga emas semasa yang ditetapkan oleh Ar-Rahnu itu sendiri.

Dalam menentukan berapakah nilai emas itu, Ar-Rahnu akan menguji ketulenan emas terlebih dahulu dengan ‘timbang berat dan uji tulen’ menggunakan alat densimeter. Ujian ini perlu sama yang tertera pada sijil ketulenan emas anda. Jika hasil yang berbeza, maka ada dua kemungkinan.

1. Emas anda telah ditipu

2. Mesin densimeter ada masalah (jarang berlaku)

Jika anda tidak berpuas hati, saya nasihatkan untuk pergi ke cawangan Ar-Rahnu yang lain. Itu sahaja.

Adakah Ar-Rahnu kenakan caj? Berapakah caj yang diletak?

Caj gadaian ini dinamakan ‘upah simpan’. Ia adalah seolah – olah kita bayar caj Ar-Rahnu kerana menjaga atau menyimpan emas kita dengan selamat. Umumnya caj dikenakan sekitar RM0.60 – RM0.70 sebulan ke atas setiap RM100 nilai emas yang dipajak.

Caj yang dikenakan adalah tetap seperti yang tertera pada surat pajak walaupun harga emas naik dan turun.

Berapa lamakah tempoh untuk pajakan atau pinjaman diberikan?

Kebiasaan tempoh diberikan adalah 6 bulan. Ada juga yang membenarkan tempoh ini dipanjangkan kepada 12 bulan. Setelah habis tempoh pinjaman, anda perlu menebus semula emas itu sebelum emas itu dilelong. Boleh perbaharui surat pajak sekiranya anda ingin sambung lagi pajakan.

Itulah perkongsian saya untuk anda berkenaan cara pajak emas di Ar-Rahnu.

Moga bermanfaat.

Silakan Kongsi